Malam itu
tidurnya tidak lena. Kepalanya sarat memikirkan nasibnya selepas ini. Dia
menoleh ke kiri. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 3 pagi. Dia bingkas
bangun menuju ke bilik air. Ada eloknya dia menunaikan solat sunat Istikharah.
Biar tenang hatinya. Biar diadukan semua kerunsingannya kepada yang Maha Esa. Semasa
sujud terakhir dia menangis semahunya.
Dalam doa dia memohon agar Allah
memberinya kekuatan untuk redha menerima segala ketentuan yang mendatang. Mama
dan abah sudah pasti tidak faham apa yang dialaminya. Dia tidak punya sesiapa
untuk mengadu. Dia hanya ada Allah yang bisa mendengar rintihan hatinya,
gelodak jiwanya dan menjawab segala permasalahannya. Sebelum mengakhiri doanya dia membaca surah Ar-Rum
ayat 21 yang bermaksud:
Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan
kekuasaanNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu
sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan
di antaramu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu
benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.
*********************************************************************************
Awal pagi lagi
dia sudah bersiap-siap untuk keluar. Dia mengenakan baju kurung bercorak bunga
halus dan tudung bawal berwarna putih. Ringkas tapi menarik. Sebaik saja keluar
dari bilik dia melihat mamanya sedang sibuk menyusun dulang yang berhias
cantik. Hatinya tiba-tiba sayu melihat perlakuan mamanya itu.
“Esya nak ke mana?” soal Puan
Salbiah.
“Esya nak keluar jap.” balasnya
ringkas.
“Hari ni kan Esya tak kerja. Kan
elok kalau Esya temankan mama kat rumah.” seolah-olah memujuk.
“Esya keluar kejap je. Esya janji
balik awal.”
“Tak lama lagikan Esya nak…”
Belum pun sempat mamanya menghabiskan kata-kata, dia mengorak langkah ke muka
pintu lalu masuk ke dalam perut kereta.
*********************************************************************************
Dia terduduk
menangis di depan pusara itu. Hatinya sebak. Air matanya mengalir tanpa henti.
Genap setahun Amir pergi menghadap Ilahi. Inilah kali pertama dia menziarahi
Amir. Bukan dia tidak redha dengan pemergian Amir. Tapi baru kali ini dia
mempunyai kekuatan menjejak langkah ke tanah perkuburan itu. Tangisannya
semakin kuat. Itu saja yang mampu dilakukannya untuk memberitahu Amir hatinya
terluka. Jiwanya memberontak. Sejak abah menyatakan hasrat untuk mengahwinkan
dia dengan anak Uncle Man, hatinya tidak lagi keruan.
Abah mahu mereka
terus bernikah tanpa perlu bertunang. Kata abah buat saja majlis yang ringkas
yang penting semuanya selesai dengan sempurna. Jika dihitung lebih kurang
seminggu lagi dia akan menjadi isteri orang. Bagaimana dia bisa mencintai
lelaki lain seperti dia mencintai Amir. Bagaimana dia bisa setia kepada lelaki
yang langsung tidak dikenalinya. Bagaimana dia bisa memberi seluruh jiwa
raganya sedangkan hatinya sudah lama mati dibawa bersama bekas tunangnya itu.
Dia tahu Amir tidak akan kembali untuk menabur benih cinta di hatinya. Dia juga tidak pernah membenarkan sesiapa menggantikan Amir. Dia
tidak tahu harus ke mana. Fikirannya buntu. Ingin saja dia lari tapi dia tidak
tega melukakan hati mama dan abah.
To be continued...
Thanks for reading this entry. :)