Monday, September 1, 2014

Tuhan, Jawab Doaku

Sincerely love by EiNeZz at Monday, September 01, 2014
Reactions: 
0 say you love me too
Photobucket



Malam itu tidurnya tidak lena. Kepalanya sarat memikirkan nasibnya selepas ini. Dia menoleh ke kiri. Jam di dinding tepat menunjukkan pukul 3 pagi. Dia bingkas bangun menuju ke bilik air. Ada eloknya dia menunaikan solat sunat Istikharah. Biar tenang hatinya. Biar diadukan semua kerunsingannya kepada yang Maha Esa. Semasa sujud terakhir dia menangis semahunya.

Dalam doa dia memohon agar Allah memberinya kekuatan untuk redha menerima segala ketentuan yang mendatang. Mama dan abah sudah pasti tidak faham apa yang dialaminya. Dia tidak punya sesiapa untuk mengadu. Dia hanya ada Allah yang bisa mendengar rintihan hatinya, gelodak jiwanya dan menjawab segala permasalahannya. Sebelum  mengakhiri doanya dia membaca surah Ar-Rum ayat 21 yang bermaksud:

Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaanNya ialah Dia menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia menjadikan di antaramu perasaan kasih dan sayang. Sesungguhnya, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir.

*********************************************************************************
Awal pagi lagi dia sudah bersiap-siap untuk keluar. Dia mengenakan baju kurung bercorak bunga halus dan tudung bawal berwarna putih. Ringkas tapi menarik. Sebaik saja keluar dari bilik dia melihat mamanya sedang sibuk menyusun dulang yang berhias cantik. Hatinya tiba-tiba sayu melihat perlakuan mamanya itu.

“Esya nak ke mana?” soal Puan Salbiah.
“Esya nak keluar jap.” balasnya ringkas.
“Hari ni kan Esya tak kerja. Kan elok kalau Esya temankan mama kat rumah.” seolah-olah memujuk.
“Esya keluar kejap je. Esya janji balik awal.”
“Tak lama lagikan Esya nak…”
Belum pun sempat mamanya menghabiskan kata-kata, dia mengorak langkah ke muka pintu lalu masuk ke dalam perut kereta.

*********************************************************************************
Dia terduduk menangis di depan pusara itu. Hatinya sebak. Air matanya mengalir tanpa henti. Genap setahun Amir pergi menghadap Ilahi. Inilah kali pertama dia menziarahi Amir. Bukan dia tidak redha dengan pemergian Amir. Tapi baru kali ini dia mempunyai kekuatan menjejak langkah ke tanah perkuburan itu. Tangisannya semakin kuat. Itu saja yang mampu dilakukannya untuk memberitahu Amir hatinya terluka. Jiwanya memberontak. Sejak abah menyatakan hasrat untuk mengahwinkan dia dengan anak Uncle Man, hatinya tidak lagi keruan.

Abah mahu mereka terus bernikah tanpa perlu bertunang. Kata abah buat saja majlis yang ringkas yang penting semuanya selesai dengan sempurna. Jika dihitung lebih kurang seminggu lagi dia akan menjadi isteri orang. Bagaimana dia bisa mencintai lelaki lain seperti dia mencintai Amir. Bagaimana dia bisa setia kepada lelaki yang langsung tidak dikenalinya. Bagaimana dia bisa memberi seluruh jiwa raganya sedangkan hatinya sudah lama mati dibawa bersama bekas tunangnya itu. Dia tahu Amir tidak akan kembali untuk menabur benih cinta di hatinya. Dia juga tidak pernah membenarkan sesiapa menggantikan Amir. Dia tidak tahu harus ke mana. Fikirannya buntu. Ingin saja dia lari tapi dia tidak tega melukakan hati mama dan abah.

To be continued...

Thanks for reading this entry. :)
 

~ EiNeZz ~ Template by Ipietoon Blogger Template | Gadget Review