Kata-kata putus asa aku lahirkan
dalam whatsapp (family group) untuk meleraikan segala tekanan yang ada. Mana
tidaknya semasa mengajar ada saja pelajar yang bercakap, makan, bertumbuk dan
keluar masuk kelas melayan rakan mereka di kelas sebelah.
Jadi benci, geram, berang… Segala
nasihat aku hamburkan agar mereka tahu erti keinsafan. Tapi ibarat mencurah air
ke daun keladi. Aku keluar kelas dengan hati yang hampa. Ilmu apa yang mereka dapat
hari ni? Apa yang telah aku berikan hari ni? Kecewa.
“Ein kena sabar. Sebab itulah
hanya orang tertentu saja yang terpilih menjadi cikgu.”
Sebak. Mesej dari sahabat baikku membuatkan
aku sedikit tenang. Ada seorang pelajar yang aku sangat tidak suka sikapnya.
Dialah yang mengajak rakan-rakannya berborak semasa aku mengajar. Bila disuruh
senyap dia memberontak. Tugasan yang diberikan jangan haraplah kalau disiapkan.
Sakit hati aku dibuli begini!
Dalam doaku tidak putus-putus
meminta dia dan rakannya berubah. Kesian. Sudahlah tak pandai malas pulak tu.
Bodoh sombong. Entah mengapa suatu hari semasa aku mengajar, terdetik pula hati
mendekatinya. Memanggil namanya lembut. Menarik kerusi duduk di depannya.
“Mari kita buat sama-sama. Cikgu
tunjuk satu-satu ye. Meh sini.” (senyum)
Aku tau ramai guru kurang
menyenanginya. Mana taknya, pernah dibuang sekolah. Masuk sekolah baru masih
buat perangai lama. Tapi aku tidak sanggup melayannya kasar. Dia juga punya
hati yang bisa terluka.
Tidakku duga dia akur menyiapkan
tugasan. Hati kecilku gembira. Begitulah hari seterusnya, aku mengajak rakan
baiknya duduk sekali menyiapkan tugasan. Mereka tidak lagi berborak, makan dan
merayau tidak tentu hala. Malah memarahi rakan yang lain jika bising semasa aku
memberi penerangan. Kagum!
Doaku semoga semua ini terus berkekalan.
Hariku dipenuhi rasa cinta. Cinta pada kerjaya yang mencabar ini. Terima kasih
kerana memberi cikgu peluang merasai perasaan cinta yang telah lama hilang. Terima
kasih ibu, ayah, pensyarah dan sahabat yang sentiasa memberi dorongan dan doa
yang tak henti-henti.
Perasaan cinta ini sudah cukup
dari mencintai sesuatu yang sia-sia.
Thanks for reading this entry.
0 say you love me too:
Post a Comment